Halaman

Selasa, Disember 15, 2009

Analisis doa bala Nik Aziz sebelum jatuh hukum

Oleh Abdullah Bukhari

Polemik doa bala Datuk Nik Aziz kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib masih hangat diperkatakan, sama ada pihak yang menyokong atau menentang. Namun, sebelum sebarang hukuman dijatuhkan ke atas tindakan Nik Aziz, polemik ini terlebih dahulu perlu dianalisis secara ilmiah menurut neraca al-Quran dan al-Sunnah.

Analisis ini amat penting demi untuk menyelamatkan masyarakat awam bawa-han yang tampaknya sedang kebingu-ngan di celah permainan ahli politik. Secara umumnya berdoa buruk kepada orang lain adalah ditegah oleh baginda Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya: Jangan berdoa buruk ke atas diri kamu sendiri, anak-anak kamu, khadam kamu dan harta-benda kamu kerana ditakuti bertembung dengan waktu penerimaan doa, (maksud buruk itu) maka akan diperkenankan oleh Allah. (Sahih Muslim & Sunan Abu Dawud).

Namun begitu, dalam keghairahan menyalahkan Nik Aziz, kebanyakan daripada kita seolah-olah terlupa pula sudut lain yang menjadi punca tercetus-nya isu ini. Oleh itu untuk berlaku lebih adil dan ilmiah kepada semua pihak, sebarang keputusan perlu mengambil kira aspek punca sesuatu isu.

Bagi memahami isu ini dalam skop lebih luas dan praktikal, kita perlu melihat kepada contoh sudah sekian lama berlaku di dunia, iaitu kempen anti keganasan dilancarkan Amerika Syarikat. Walaupun sudah bertahun kempen tersebut dijalankan dengan beberapa pendekatan ekstrem seperti penaklukan Afghanistan, Iraq dan penahanan ramai tokoh yang dicop sebagai pengganas, angka keganasan tidak pernah berkurang.

Kegagalan ini boleh dikatakan berpunca daripada kebebalan pihak Amerika untuk mengubati punca penyakit keganasan, iaitu penindasan dan sikap berat sebelah negara kuasa besar itu kepada umat islam terutama di Palestin.

Premis yang sama perlu digunakan dalam menangani polemik doa bala yang diucapkan Nik Aziz kerana rata-ratanya mengecam tanpa melihat mendalam kepada punca kenyataan beliau itu.

Sebagai seorang Menteri Besar dilantik rakyat Kelantan melalui pilihanraya yang sah,tindakbalas beliau tidak berpuas hati dengan penafian hak royalti minyak oleh Kerajaan Pusat sebenarnya logik dan masuk akal.Ini kerana beliau bukan bercakap atas platform seorang Mursyidul Am Pas semata-mata,sebaliknya mewakili sebuah kerajaan pilihan rakyat Kelantan.Berdoa pula langkah paling ringkas,mudah dan berkesan untuk menegaskan rasa tidak puas hati serta meraih simpati rakyat.

Merujuk rasa tidak puas hati dalam diri manusia pula,baginda Rasulullah SAW sendiri pernah bersedih dan berdoa buruk selama sebulan dalam qunut solat Subuh kepada kabilah Ra'l,Dhakwan dan 'Ussayyah yang telah membunuh para pendakwah daripada kalangan sahabat baginda dalam peristiwa Bi'r al-Ma'unah (Sahih al-Bukhari & Muslim).Namun begitu, baginda SAW berhenti berdoa setelah diturunkan ayat berikut:

Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), samada dia menerima taubat mereka atau menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang yang zalim (Ali 'Imran [3:128]).

Setelah melihat dalil ini, mungkin ada memberi alasan doa para rasul itu ditujukan kepada orang kafir dan bukan untuk sesama Islam sebagaimana polemik yang sedang berlaku.Namun, perlu diingat, faktor kufur hanya bersikap minor jika dibanding denagn faktor zalim.

Apa salahnya jika wang ihsan itu disalurkan terus kepada kerajaan pilihan rakyat Kelantan kerana ia tampak lebih bertamaddun dan terhormat.Jika kehendak kerajaan Kelantan dipenuhi dengan penuh professional, sudah tentu doa buruk Nik Aziz tidak akan timbul sama sekali.

Tiada ulasan: